Quantcast
Channel: blog.najahudin.com » Rumah aku di Alam Budiman telah dijual
Viewing all articles
Browse latest Browse all 2

Rumah aku di Alam Budiman telah dijual : Siri 1 (Rumah)

$
0
0

Location! Location! Location! adalah wirid biasa yang dicadangkan oleh pakar hartanah kepada kita untuk mencari rumah. Bukan sahaja bagi pelabur hartanah tapi juga pada orang biasa yang mencari rumah peneduh hujan. Namun, mungkin orang biasa juga boleh menjadi pelabur yang bijak bila meluat tinggal di situ atau lebih selesa di tempat lain. Lantas risikonya agak kurang. Rumah di lokasi baik akan menjadi rebutan. Justeru, anda tidak perlu berfikir panjang untuk menjual atau menyewakannya dalam masa yang singkat.

Lokasi yang terbaik adalah lokasi yang laris untuk disewa atau bernilai komersial serta berpotensi untuk meningkat nilai hartanahnya. Itu terpulang kepada seorang invester sama ada membeli rumah untuk disewa (+ve Cashflow) atau untuk dijual (Capital Gain). Untuk sewaan sebaiknya rumah apartment dan guna pembiayaan dengan jumlah sewaan dengan ditolak kos maintainance / assessment boleh cover bayaran bulanan. ‘ROI ok’, kata otai hartanah. Untuk dijual biasanya rumah landed dengan bayaran tunai yang banyak untuk elak kos lawyer, valuer atau lock in penalty. Selain itu faktor lain seperti kepadatan penduduk, akses jalan, lebuh raya. kemudahan asas, stesen bas, LRT, kilang, hostipal, sekolah, Tesco, Gaint dan sebagainya. Jangan lupa pula menjenguk wujud atau tidak McDonald atau kedai mamak Khulafa (sebab ada WIFI free) di situ. Lokasi rumah di Bukit Jelutong tentu lebih baik dari Bukit Beruntung kan.

Buatlah sedikit kajian tentang harga sewa di lokasi idaman. Biasanya di lokasi strategik, anda tidak perlu bimbang dengan harga sewa, pasti berbaloi dengan bayaran bulanan pembiayaan anda. Mungkin anda berfikir untuk membeli banglo murah di Serendah dengan harga RM100K dan bayaran pembiayaan yang rendah, tapi adakah akan ada penyewa yang sanggup walaupun sewanya RM300 sebulan. Biasanya lokasi idaman kita adalah lokasi yang kita paling arif dan dekat dengan kita. Mungkin lokasi itu berdekatan dengan rumah kita, tempat kerja kita atau tempat kita pernah belajar. Bagi bekas pelajar UiTM Shah Alam contohnya, melabur di lokasi Seksyen 2, Seksyen 7 atau Seksyen 16 tentu lebih mudah kerana anda tentu arif dengan lokasi keliling UiTM itu, dengan rumah dikehendaki penyewa, dengan masalah-masalahnya dan tahu pula kadar sewa ‘harga patut’ di situ.

Dari aspek muamalat Islam, terdapat beberapa kontrak pemilikan rumah di Malaysia. Dulu kontrak yang popular digunapakai oleh bank dan dalam pembiayaan perumahan kerajaan adalah Al-Bai Bithaman Ajil (BBA). Namun, atas beberapa isu (akan dihuraikan dalam siri seterusnya), kontrak lain terutamanya Musyarakah Mutanaqisah, Al-Ijarah Thuma al-Bay’ atau Ijarah Muntahiyah bi Tamlik telah mengambilalih dan lebih diterima umum hari ini (Kecuali dua tiga bank yang ketinggalan perahu yang masih menggunakan BBA). Namun, dalam siri menyentuh rumah atau ‘subject matter’ ini aku nak lihat ia sebagai salah satu rukun jual-beli (al-Bay’). Rukun ‘subject matter’ mempunyai syarat-syarat sahnya yang tersendiri antaranya :
(a) hendaklah wujud dan boleh diserahkan (Kecuali dalam jualan Salam, Istisna’ dan sebagainya);
(b) adalah bersih, suci dan bukan diharamkan;
(c) adalah berfaedah menurut syarak;
(d) adalah bernilai menurut Islam;
(e) adalah kepunyaan penjual atau wakilnya;
(f) diketahui oleh penjual dan pembeli tentang jenis, kadar dan sifatnya.

Menyentuh tentang rumah dan lokasinya ini, sekitar tahun 2003 semasa aku tinggal di Kajang walaupun bertugas di Shah Alam, ketika merayau-rayau melihat alam, aku cukup tertarik dengan senibina di kawasan perumahan di Bandar Sungai Long. Cantik, tersusun dan futuristik. Tapi sayang, location! location! location! tidak menepatinya, sangat jauh walaupun tenang menghijau.

Sekitar April 2007, semasa pilihanraya kecil DUN Ijok yang menemukan MB Selangor sekarang dengan lawannya seorang India, aku beberapa kali berulang-alik dari Shah Alam ke sekitar Ladang Tuan Mee. Jalannya cukup sunyi, iaitu jalan yang dicita-cita menjadi Lebuhraya Shah Alam – Bakar Arang. Jalan itu bermula di Bukit Jelutong sejauh 15 kilometer hingga ke Puncak Alam kemudian membelok sejauh 15 kilometer lagi menuju ke Pekan Ijok. Anda kenal bukan Puncak Alam lima tahun lepas, umpama padang jarak padang tekukur dari aspek komunitinya, justeru kita tentu boleh membayangkan bagaimana jalan itu cukup sunyi dan menghantukan ketika waktu tengah malam.

Ketika itu sebenarnya zaman berlalu serangan terhadap ‘pencabulan’ tanah dan bukit sekitar Rezab Hutan Simpan Bukit Cerakah. Aku tidak lupa bagaimana MB Selangor ketika itu diganyang (ya konspirasi pemilihan ketika itu) hinggakan PM sendiri menaiki helikopter meninjau kawasan 3000 ekar yang dipawah 99 tahun kepada 35 pemaju ‘terpilih’ itu. Akhirnya, daripada pemaju-pemaju itu lahirnya Sunway Kayangan, Kayangan Height, Cahaya Height, Subang Impian, Desa Nusarhu, Sunway Alam Suria, Perdana Height, Puncak Perdana, Greenville dan tidak dilupakan Alam Budiman. Sebetulnya aku tengah mencari rumah yang terbaik waktu itu. Untuk tujuan investment. Ketika berulang-alik itu aku perasan satu kawasan pembinaan yang baru. Fasa I baru bermula. Aku terkesan dengan senibinanya yang seakan-akan sama dengan konsep binaan di Sungai Long. Atas faktor mendahulukan urusan lain yang lebih aula, aku terlupa untuk singgah jenguk di situ.

Beberapa bulan kemudian, ketika dalam satu ekspedisi Jurulatih Utama ICT Selangor di Kuantan, salah seorang rakan aku menceritakan tentang perumahan yang dia baru tengok. Cukup hebat dikempen untuk beli, walaupun dia akhirnya tidak beli. ‘Fasa I dah ‘sold out’, sekarang dah dibuka fasa II’. Alam Budiman katanya, rumah batu merah, British style. Aku cukup teruja. Bila balik, tanpa berlengah waktu aku terus ke lokasi yang disebutkan. Memang betul, fasa II sedang dijual. Type Sri Tilia, Sri Raya dan bangunan komersial.

Melingkungi pelan keseluruhan tapak dan senibinanya, aku percaya inilah rumah yang aku cari. Semua ada dari surau, dewan, kedai hinggalah tasik dan taman mainan di setiap lorong. Aku tanya type yang paling murah, ‘Sri Tilia’ aku diberitahu. Akhirnya aku tertarik dengan satu lokasi, rumah depan kawasan lapang, dekat tasik dan depan taman mainan, jauh dengan laluan utama. Tapi sayang, aku tidak boleh booking hari itu. ‘Location survey’ belum buat. Lagipun aku bukan hidup seorang. Aku punya keluarga, paling kurang orang rumah mesti bersetuju. Aku balik dulu.

Di rumah, aku mula buat tinjauan melalui internet. Selain website pemajunya, Sin Heap Lee (SHL) Development Sdn. Bhd. aku layari, aku tinjau-tinjau juga beberapa laman web dan forum melalui bantuan lebai Google. Aku bertemu dan bersatu dengan satu forum bakal komuniti Alam Budiman yang menggunakan server Malaysia Real Estate. Forum ini tidak lama kerana kemudiannya diganti oleh forum dengan domain sebenar kemudiannya dan aku turut daftar dengan nickname farisi@linuxpro. Di website HSL, aku sudah ‘mendaftar secara maya’ dengan type Sri Tilia yang catatannya begini :


SRI TILIA 1
Std. lot size : 22′ x 65′
Gross built up : 2,160 sq. ft.
No. of units : 84
Year of completion : 2008

Ikut perancangan SHL, fasa I (siap 2007) mengandungi rumah berkembar dua tingkat type Embun (22′x65′), Senja (22′x70′), Bayu (24′x70′) dan Anggun (28′x70′); Fasa II (siap 2008) type Sri Tilia (22′x65′) dan Sri Raya (22′x70′); Fasa III type Impiana (siap 2009)(22′x70′); Fasa IV (siap 2010) type Suria (22′x70′) dan fasa terakhir (siap 2011) type Budiman (22′x70′). Semua fasa-fasa ni harganya berlainan dan semakin mahal dari satu fasa ke satu fasa walaupun keluasannya adalah sama. Cukuplah anda bayangkan dalam tempoh tiga tahun perbezaan harga type Senja dengan Budiman walaupun keluasan yang sama adalah 50K.

Selang empat hari kemudian aku datang lagi. Kali ni berdua. Tidak perlu masa yang panjang, persetujuan dicapai. Ketika menghulurkan cek RM2k sebagai booking, aku begitu terkejut. ‘Semua lot depan tanah lapang tu dah habis pagi tadi!’, kata kak cik yang jual tu. Aduh! Cepatnya ‘pisang goreng’ ni. Empat hari lepas banyak lagi yang tidak ‘diwarnakan’ ruang lot, tapi petang tu semuanya dah licin. Akhirnya, dalam keadaan terpaksa aku booking juga satu lot di belakang lorong cadangan asal. Aku pilih lot PT6440.

Soalnya kenapa aku pilih rumah di Alam Budiman, seluas 50 ekar itu? Selain senibina, aku pilih juga atas faktor harga, kehijauan dan jauh kesesakan. Anda kenal Shah Alam bukan? Mana ada tanah yang murah di situ. Rumah 250K ke atas adalah nilai biasa bagi rumah dua tingkat berkembar masa tu. Sekarang nak cari 300K ke bawah memang tak jumpa. Itupun bila malam panas membahang sambil menghidu asap kenderaan dan kilang. Jadi tidak pelik bila kawasan dan bukit U9 hingga U12 di bawah pentabdiran MBSA ditarah dibuka, ramai orang muda terus melamarnya. Selain harga yang masih boleh tahan, udara hijau agak membantu. Kepadatan Shah Alam dan kerakusan projek telah menolak pembangunan luar dari lingkungan sebenar kuasa MBSA. Hasilnya, Alam Budiman di U10 berjiran dengan Saujana Utama, Kuala Selangor di utara dan Meru, Klang di barat laut.

Namun, itu bukan faktor utama. Seperti aku sebutkan aku beli rumah tahun 2007 tu untuk invest. ‘Beli dan jual’. Walaupun bukan beli secara tunai atas upaya kewangan bukan banyak sangat, tapi Alam Budiman aku rasakan pelaburan yang berbaloi dua tiga tahun kemudian. Kalau anda melihat master plan MBSA aku yakin anda faham. Dengan laluan perhubungan yang menjalar, NKVE, Gutrie, link ke Sprint, ditambah dengan tertegaknya UiTM Puncak Perdana bersebelahan dengan Alam Budiman, begitu juga Puncak Alam yang akan ‘hidup semula’ dengan UiTM di situ mula dibuka 2009, ini semua menjadikan tepian laluan 15 kilometer ini suatu yang menarik.

Akhirnya, aku selamat menandatangani perjanjian jual beli pada 20.09.2007. Asalnya rumah itu untuk pelaburan, untuk disewa bukan untuk didiami. Namun, pertengahan tahun 2009, ketika kunci rumah diterima, isteriku telah ditempatkan di UiTM Puncak Alam. Mahu tidak mahu, aku terpaksa berpindah ke area yang lebih dekat. Bagai sudah dijanjikan, rumah yang patutnya disewa menjadi mangsa renovation dan kemudiannya dihuni oleh kami sekeluarga.

Dengan bimillahir rahmanir rahim, aku mula tinggal di lot PT6440, yang kemudiannya menjadi No. XX, Jalan Pulau Lumut U10/75X mulai 08.08.2009, seminggu dua sebelum Ramadhan menjelma. Tidak lupa, genap setahun kemudian, aku sudah mula mencongak untuk menjualnya.

Siri Sebelum Ini :
- Pengenalan [Siri Pengenalan]
- Pembeli
- Penjual
- Rumah
- Harga
- Akad
- Agent / Negotiable
- Valuer
- Bank & Pembiayaan
- Lawyer
- Isu-isu Syariah dalam Jual-beli Rumah


Viewing all articles
Browse latest Browse all 2

Trending Articles